" Permata Cinta - Episod 2 "


Hakim sampai di rumah Iskandar apabila jam sudah hampir menunjukkan jam enam petang. Bergegas dia turun dari kereta kerana teringat dia belum solat Asar. Nasib baik jalan tidak terlalu sesak.

“Jemput minum, Pak Su,” gadis itu meletakkan dulang berisi air jus tembikai di atas meja. Hakim baru saja hendak melabuhkan punggung di kerusi seusai solat asar. Matanya merenung wajah bujur sirih yang bersih itu. Sudah berkali-kali dia datang ke rumah Iskandar, belum pernah dia berjumpa gadis itu.



“Sudahlah tu, Hakim, cukup-cukuplah tu,” Iskandar bersuara selamba. “Nurin, ini Pak Su kenalkan Hakim, kawan Pak Su dengan Mak Su masa belajar kat Australia dulu. Nurin ni anak sedara Julia,” Iskandar memperkenalkan mereka dan memberitahu Hakim siapa gadis itu. Julia ialah isteri Iskandar.

Nurin hanya memandang sekilas kepada Hakim sambil tersenyum tipis. Dia kemudian terus berlalu ke dapur.

“Anak sedara Julia? Tak pernah jumpa pun sebelum ni,” Hakim bersuara setelah Nurin hilang di balik pintu.
“Bukan anak sedara dia betul. Anak sedara isteri abang Julia.”
“Hmmm sedara jauh tu….” Hakim menghirup jus tembikai. Terasa segar apabila air dingin itu mengalir masuk ke tekaknya.
“Engkau jangan tak tau keluarga Julia tu tak ada yang jauh. Asal nama sedara je, kira keluargalah.”

“Dia buat apa kat sini?” Tanya Hakim.
“Baru habis buat master kat UIA. Julia yang minta dia datang nak suruh tengokkan anak-anak kami ni. Pantang ada anak sedara yang free tak buat apa, dia ambil kesempatan.”
Hakim ketawa, “Tak baik engkau cakap macam tu. Julia kan kerja. Ada orang boleh tolong, apa salahnya dia menolong Julia.”

Iskandar memang jenis mengeluarkan apa yang ada di fikirannya. Terlalu jarang dia berselindung. Ada bagusnya kalau begitu, jelas kejujuran Iskandar apabila berhadapan dengan sesiapapun. Tapi ada kalanya mengundang rasa tersinggung pada orang yang mendengarnya. Hakim sangat maklum dengan perangai Iskandar.

“Kalau nak minta tolong biarlah kena orangnya. Nurin tu postgraduate holder, suruh jadi baby sitter. Lainlah kalau tengah tunggu result SPM ke,” Iskandar terus berkata-kata. Hakim hanya meneruskan ketawanya.

Makan malam memang menyelerakan. Patutlah Iskandar mengajak Hakim datang malam itu. Nurin yang sampai dari Kuantan tengahari itu ada membawa ikan patin, kiriman ayahnya kepada Julia. Begitu selera Hakim menjamah masak lemak cili api. Apa lagi makan bersama sebuah keluarga begitu. Selalunya dia akan singgah makan di kedai sahaja waktu pulang dari kerja. Dan sudah tentu makan berseorangan

“Hai Hakim, sampai tak angkat muka makan. Berselera nampak?” Julia bersuara.
“Mana nak dapat makan sedap macam ni kat kedai,” balas Hakim.
“Sejak bila you pandai masak macam ni, Julia?” Tanya Hakim.

“Julia masak macam ni? Hish engkau ni macam lah tak kenal Julia. Menu dia kan selalu western je,” Iskandar menjawab sambil ketawa kecil.
“You ni, Yang, suka kutuk I ye.” Julia menjeling manja suaminya.
“Eh memang betul pun. Selalu kalau Hakim datang apa menu you? Chicken choplah, lamb chop lah, mana ada nasi berlauk macam ni,” Iskandar menyambung kata-katanya lagi dalam sisa tawa.

“Eh, kira ok tu. Sesekali pekena western menu,” Hakim cuba meredakan suasana. “I rasa anak sedara you ni yang ajar you masak tak?” Hakim sekadar ingin melarikan mereka dari berpanjangan bertelagah. Nurin yang diam sejak tadi mengangkat muka memandang Hakim.

“Lebihkuranglah tu, Hakim,” jawab Julia. “Tapi kalau you suruh I masak lagi, mintak maaflah ye. Kalau you terasa nak makan lagi macam ni, you tempah ajelah dengan Nurin,” selamba Julia berkata sambil ketawa.

Hakim memandang Nurin dan pandangan mereka bertembung. Nurin cepat-cepat menundukkan kembali wajahnya.

“Chef ada postgrad degree mesti kena charge mahal tak?” Hakim hanya ingin bergurau.
“Kalau nak lagi senang Hakim, engkau ambil kontrak seumur hidup dengan Nurin ni. Tiap-tiap hari engkau boleh makan macam ni,” kata Iskandar. Hakim hanya tersenyum kelat. Dia terasa bagai ada maksud lain di balik kata-kata Iskandar itu. Tawa Julia dan Iskandar berderai. Hakim mencuri pandang Nurin yang tidak lagi mengangkat mukanya.

“Apa hal Mak Su dengan Pak Su ni. Cakap bukan-bukan. Buat macam kita ni takda kat sini je,” hati Nurin berdetik. Rasa malu dengan tamu Mak Su dan Pak Sunya itu. Rasa terkilan dengan gurauan Pak Su yang bagai tidak memikirkan dirinya. Cepat-cepat dia menyuap suapan yang terakhir dan berlalu perlahan ke dapur. Terbantut selera Nurin, sedangkan masak lemak cili api itu memang lauk yang paling dia suka. Nurin berkemas dapur dan membasuh pinggan dan periuk yang dia dan Julia gunakan semasa memasak tadi.

Arina, anak Julia dan Iskandar yang sulung datang merapati Nurin. Dia menarik baju Nurin. Nurin menoleh dan tersenyum. Dia pasti Arina mahukan sesuatu darinya. Arina sudah berumur empat tahun lebih. Tetapi dia mempunyai masalah pertuturan. Julia dan Iskandar menghantarnya ke pakar terapi pertuturan dua kali seminggu. Nurin sedar Julia begitu susah hati dengan kekurangan Arina.

“Mak Su takut nanti bila dia dah mula sekolah ada masalah dengan cikgu dengan kawan-kawan. Nurin cuti nanti boleh tolong tengokkan dia?” Nurin teringat perbualan telefon dengan Julia bulan lepas. Julia meminta Nurin untuk tinggal bersamanya sementara menunggu keputusan peperiksaan akhir dan sementara dia mencari kerja.

Nurin memang sukakan kanak-kanak. Tambahan pula dia anak bongsu. Dari kecil lagi dia teringin sangat seorang adik. Bidang ijazah lanjutan yang diambilnya pun bidang psikologi kanak-kanak. Dengan ilmu yang dia ada boleh juga dia sedikit sebanyak membantu Arina dan mendalami ilmu yang dipelajari dari buku.

“Arina nak apa?” Nurin berteleku depan Arina. Wajahnya muncung. Memang agak payah hendak melihat ceria Arina. Arina menggoyang-goyangkan tubuhnya.

“Mari tunjuk Kak Nurin,” Nurin memegang tangan Arina. Terus saja Arina menarik tangan Nurin dan membawanya ke ruang tamu. Jari telunjuk Arina menunding ke arah sebuah buku di atas lantai.

Nurin ketawa kecil, “Ooooh nak mintak Kak Nurin bacakan buku ye?”
Arina angguk. Nurin duduk dan Arina menuruti.
“Kalau nak suruh Kak Nurin baca, Arina cakap macam ni, Kak Nurin nak baca buku. Cuba Rina cakap,” Nurin cuba untuk memberi galakan supaya Arina berani bersuara.

Arina tunduk sambil tangannya memegang buku tersebut. “Kak Nurin baca....,” perlahan suaranya keluar menyebut perkataan-perkataan itu satu persatu. Nurin senyum puas. Dia mencium pipi Arina dan mula membuka buku.

“Wah! Ini buku baru ye? Siapa belikan ni?” Arina mendongak memandang Nurin. Ada senyum terbit di bibir cilik itu. Dia bagai gembira yang Nurin menyedari yang buku itu buku baru. Dia angguk perlahan dan menoleh memandang ke meja makan. Nurin turut menoleh dan baru dia menyedari tiga pasang mata sedang memerhatikan mereka.

“Pak Su belikan last week,” Julia bersuara. Seperti ada sebak dalam suara itu. Julia bangun dan membawa pinggan makannya ke dapur.

Nurin kembali menumpukan perhatian kepada Arina. Tangannya memegang jari halus Arina dan digerak-gerakkan di helaian muka surat sambil mulutnya membaca dan bercerita tentang isi kandungannya.

Hakim yang masih di meja makan mendengar suara Nurin. Sesekali dia menoleh. Nurin bagai magnet yang menarik kanak-kanak itu kepadanya. Begitu asyik Arina mendengar celoteh mulut Nurin. Adam, adik Arina yang sedang berbaring dengan botol susu juga bangun mendekati mereka. Mata Adam dan Arina tidak berkelip-kelip melihat buku yang penuh dengan gambar berwarna-warni. Adam baru berusia setahun setengah.

“Hei! Menungkan apa?” Terkejut Hakim apabila bahunya ditepuk oleh Iskandar. Hakim tersengih.
“Nak makan ikan termenung pulak ke?” Usik Iskandar lagi.

Mereka sudah selesai makan. Iskandar membantu Julia mengemaskan meja makan. Biasanya dia juga akan membantu mengemas dapur. Tetapi kerana Nurin ada makin ringanlah kerja dia. Iskandar membancuh teh untuk mereka pula.

Hakim senang bila melihat Iskandar begitu. Dia memang ringan tangan membantu Julia di rumah. Julia tidak suka pembantu rumah, “I want only my touch in my house,” itu katanya kepada Iskandar. Walaupun bekerja Julia sedaya upaya membereskan kerja-kerja di rumah. Sebab itu rumah mereka tidak ada perhiasan-perhiasan. Hanya perabut-perabut yang diperlukan sahaja yang memenuhi ruang rumah mereka.

Namun, satu sikap Iskandar yang ada kalanya kurang Hakim senangi. Dia suka mengeluarkan apa yang tersirat di fikirannya. Dia seperti tidak mahu memikirkan perasaan orang lain. Hakim terlalu kenal dengan sikap Iskandar dan Julia. Mereka teman rapat sejak dari Australia lagi. Ada kalanya dia merasa kasihan dengan Julia yang terpaksa menyimpan perasaan.

Semasa di Australia, ada waktu-waktunya Julia melepaskan perasaannya kepada Hakim apabila dia tersinggung dengan sikap Iskandar. Sudah beberapa kali Hakim menyaksikan airmata Julia. Tetapi, yang peliknya Iskandar itu juga yang dipilihnya menjadi suami. Namun, sejak mereka mendirikan rumahtangga enam tahun lalu, Julia tidak pernah meluahkan perasaannya kepada Hakim. Hakim dengan sendirinya sedia maklum yang Julia meletakkan batasan dalam persahabatan mereka. Memang tidak patut kalau Julia berkata sesuatu yang tidak elok tentang suaminya walaupun kepada teman karib sekalipun. Tambahan pula Hakim lelaki, akan menimbulkan fitnah nanti. Dan Hakim amat menghormati sikap Julia itu.

Hakim merasa serba salah untuk duduk di sofa. Terus dia duduk di meja makan. Sejurus kemudian Iskandar datang dari dapur menatang dulang berisi seteko air teh dan beberapa biji cawan. Dia meletakkan dulang tersebut di atas meja di tengah-tengah ruang tamu.

“Arina, Adam, dah sembilan lebih. Tidurlah pulak. Besok sambung baca dengan Kak Nurin,” Iskandar bersuara. Arina mendongak melihat ayahnya. Iskandar mencubit pipi Arina, “Besok sambung ye?” Suaranya lembut memujuk. Arina angguk. Julia datang mendekati mereka. Dia sudah selesai berkemas di dapur.

“Jom, Arina,” ajak Julia.
“Tak apa, Mak Su. Malam ni biar Nurin tidurkan diorang. Rindulah nak tidur dengan Arina,” Nurin meminta.
Julia senyum senang.

Hakim sudah duduk selesa di sofa. Pura-pura tidak mendengar percakapan Julia dan Nurin. Entah kenapa terbit satu keinginan di sudut hatinya untuk tahu lebih lanjut mengenai Nurin.

“Anak sedara you tu buat course apa?” Tanya Hakim kepada Julia.
“Child psychology,” jawab Julia.
“Patutlah Julia minta tolong dia, Is. Engkau ni pun satu. Memang sesuailah dia tengok-tengokkan Arina dengan Adam,” Hakim memandang Iskandar.
“Eh, apa you cakap dengan Hakim, Yang?” Julia bertanya.
“I cakap Nurin tu bakal postgrad. Tak sesuai disuruh babysit anak kita,” selamba Iskandar menjawab sambil tangannya mencapai tangkai cawan.

“Dia kan cuti sebulan. Sementara nak dapat result dan nak cari kerja, biarlah dia tengokkan Arina tu. Mana tahu Arina can have better progress with her,” Julia menerangkan.
“Hmmm, betul tu, Is. She’s qualified. Aku tengok pun anak-anak engkau suka dengan dia. That’s a crucial factor,” Hakim menyokong Julia.

Iskandar hanya tersengih. Dia tahu dia sudah kalah. Ada kala dia merasakan Julia itu lebih matang dari dirinya.

Mereka berbual-bual tentang perkembangan diri masing-masing. Tentang kerja, tentang keluarga di kampung. Tentang kawan-kawan lama. Namun apabila mengenang waktu-waktu dahulu ada satu nama yang tidak akan terbit di bibir mereka bertiga. Dan mereka bertiga amat maklum akan sebabnya. Hakim meminta diri apabila hari hampir tengah malam.


 by.....miSz zN~

No comments: